Sabtu, 17 Julai 2021

7 KEISTIMEWAAN HARI ARAFAH YANG SANGAT HEBAT

Salah satu daripadanya adalah Hari Arafah, iaitu yang disambut pada setiap 9 Zulhijjah setiap tahun. Berikut adalah keistimewaan Hari Arafah yang patut kita tahu agar sama-sama dapat lebih menghayati serta sama-sama memanfaatkan tawaran yang telah dijanjikan Allah.


1. SEBAHAGIAN DARIPADA RUKUN HAJI

Pentingnya Hari Arafah adalah ia merupakan sebahagian daripada Rukun Haji.
Ibadah ini juga sangat signifikan dan adalah puncak berkumpulnya seluruh jutaan jemaah Haji dari segenap pelosok dunia.

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]


2. HARI KESEMPURNAAN AGAMA

Di Arafah inilah Rasulullah telah menyampaikan khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, Baginda pun wafat.

Pada ketika itu, telah turunnya surah al-Maa’idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Rasulullah SAW:

اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

Maksudnya: “..Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” [Al-Maa’idah: Ayat 3]


3. HARI ARAFAH ADALAH HARI RAYA BUAT UMAT ISLAM

Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]


4. HARI ARAFAH ADALAH HARI PENYAKSIAN

Hari Arafah turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” [Riwayat Ahmad]


5. KEDAHSYATAN DOA PADA HARI ARAFAH

Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa. Menurut sumber, ada juga pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]


6. GANJARAN PUASA ARAFAH

Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji. Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]


7. HARI KEAMPUNAN

Ambillah peluang untuk bertaubat dan memohon ampun sebanyak-banyaknya kerana Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka. Pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]

Selain itu, ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis. Mereka memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabar Rahmah selepas 40 tahun terpisah.


Kesimpulannya, hari Arafah adalah satu hari yang istimewa sebagaimana bulan Zulhijjah juga sebagaimana yang kami nyatakan sebelum daripada ini akan kelebihan bulan Zulhijjah. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan setiap amalan yang dilakukan.



*Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan, Utusan

Ahad, 4 Julai 2021

Masjid Di Zaman Rasulullah SAW

            Masjid berasal dari perkataan bahasa Arab yang terbit daripada kata dasar ‘sajada ’ bererti sujud. Penambahan awal huruf mim sebagai indikator tempat menjadikan maksud masjid sebagai tempat orang-orang Islam sujud menyembah Allah Yang Maha Esa. Manakala dari segi syarak membawa maksud setiap tempat di permukaan bumi yang bersih yang boleh dijadikan tempat bersujud atau bersembahyang.

            Sejarah mencatatkan bahawa pada masa permulaan perkembangan Islam ke pelbagai negeri, bila umat Islam menetap di suatu daerah baru, maka salah satu saranan untuk kepentingan umum yang mereka buat adalah masjid. Faktor utama kekuatan dan kehebatan umat Islam terletak pada kekuatan yang ada pada institusi masjid. Masjid bukan sahaja tempat umat Islam melaksanakan ibadat khusus sahaja bahkan di situlah tempat umat Islam membina keunggulan. Sejarah pembangunan masjid berkait rapat dengan perluasan wilayah Islam dan pembangunan kota-kota Islam.


            Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan umat Islam dari Makkah ke Madinah pada tahun pertama Hijrah (622M) merupakan sejarah awal bermula pembinaan masjid. Masjid Quba’ (Nor Raudah & Mohamad Zaidi, 2006).telah dibina oleh Rasulullah SAW setibanya di pinggiran kota Madinah. Masjid Nabawi atau di sebut masjid Nabi di Madinah adalah masjid yang kedua di bina oleh Rasulullah SAW selepas masjid Quba’. Mengikut sejarah, selepas memasuki Kota Madinah, baginda menolak pelawaan beberapa sahabat supaya menginap di kediaman masing-masing sebaliknya Rasulullah SAW membiarkan untuknya menetukan tempat yang baginda akan berhenti. Unta tersebut berlutut merebahkan dirinya di satu tapak milik dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhail. Kedua-dua anak yatim itu ingin menghadiahkan tapak tersebut kepada Rasulullah SAW, tetapi Baginda enggan menerimanya, bahkan baginda membeli dengan harga sepuluh dinar emas.


Al-Quran mengungkap perkataan masjid dalam 44 tempat dan ia boleh dipecahkan kepada tujuh kumpulan seperti berikut (Mohd Ismail bin Mustari. 2009: 256):


i. Masjid disifatkan dengan al-Haram iaitu dalam lima belas tempat

ii. Masjid disifatkan dengan al-Aqsa disebut dalam satu tempat.

iii. Masjid yang disifatkan dengan al-Haram dan juga al-Aqsa iaitu enam tempat.

iv. Perkataan al-Saf yang dimaksudkan dengan masjid iaitu satu tempat.

v. Masjid yang disebut dalam bentuk jama’ iaitu enam tempat.

vi. Al-bait (rumah) yang dimaksudkan kepada masjid iaitu dalam lima belas tempat.

vii. Al-Buyut (rumah-rumah yang dimaksudkan dengan masjid dalam dua tempat

Sabtu, 3 Julai 2021

MASJID SEBAGAI PUSAT PEMBANGUNAN MASYARAKAT

            Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat serta pembangunan minda dan fizikalnya memberikan isyarat bahawa institusi masjid juga perlu berkembang untuk mengimbangi keperluan dan perkembangan masyarakat Islam. Khususnya masjid-masjid yang berkedudukan strategik di negara ini perlu mengorak langkah bagi menampung dan memenuhi keperluan masyarakat. Untuk melaksanakan konsep masjid sebagai sebuah institusi, maka kita haruslah mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan dan menjadikan masjid sebagai Pusat Pembangunan Islam yang merangkumi semua kegiatan yang boleh diterjemahkan sebagai ibadah.

            Pada masa kini, umat Islam terdedah dengan pelbagai gejala sosial yang kurang sihat dan gejala yang boleh menggugat keutuhan keimanan umat Islam jika tidak dirawat dengan segera. Seperti kata pepatah melayu “mencegah lebih baik daripada merawat”. Oleh itu, masjid-masjid perlu berusaha meningkatkan aktiviti-aktiviti ke arah pembangunan kerohanian umat Islam agar mampu bersaing menghadapi kesan gejala globalisasi ini.


            Pembangunan masyarakat tidak hanya tertumpu kepada soal akhlak atau memfokuskan pada program-program keagamaan semata-mata, malah untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat yang terulung, masjid harus memahami kehendak masyarakat semasa. Dalam erti kata lain segala aktiviti kemasyarakatan bermula di masjid sebagaimana masjid di zaman Rasulullah. Aktiviti-aktiviti pembangunan sosial masyarakat diadakan bagi mengeratkan tali silaturrahim sesama ahli qariah dengan institusi masjid. Ini bermaksud bukanlah segala aktiviti dilakukan di dalam masjid tetapi pihak masjid boleh menganjurkan sesuatu program dan diadakan di luar masjid. Contohnya masjid menganjurkan program sukan untuk remaja seperti pertandingan bola sepak, takraw dan sebagainya, tidak menjadi suatu kesalahan jika sukan dianjurkan oleh masjid. Islam sendiri menggalakan umatnya supaya beriadah, malah itu dapat mendekatkan remaja dengan masjid seperti pepatah Arab menyebut:


العقل السليم في الجسم السليم

Maksudnya: Akal yang sihat dari badan yang sihat.


            Selain daripada itu bagi memenuhi keperluan masyarakat semasa supaya terus relevan seharusnya masjid perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan riadah, kemudahan pusat rawatan kesihatan, kemudahan pusat komuniti, kemudahan pusat pendidikan atau kemudahan kedai jualan barangan halal. Pihak pengurusan masjid boleh meluaskan program yang dianjurkan, tetapi jangan sampai mencemarkan kesucian masjid.

MASJID SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

                    Pendidikan dari sudut Islam memperlihatkan suatu paradigma yang bersifat holistik, sepadu dan seimbang. Pendidikan Islam bersifat holistik atau menyeluruh kerana ia meliputi perkembangan manusia dari aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi secara bersepadu yang mana potensi ini dapat digunakan untuk meningkatkan pelbagai aspek kehidupan manusia. Manakala seimbangnya pendidikan Islam kerana ia menekankan kemajuan dan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

             Masjid semenjak zaman Rasulullah SAW adalah sebagai tempat pembentukkan peribadi umat Islam atau dalam erti kata lain masjid adalah pusat pendidikan Islam dalam pelbagai bidang akidah, syariah dan akhlak. Institusi masjid berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Contohnya masjid al-Nabawi dijadikan sebagai pusat pembelajaran. Di serambi bahagian sisi atau anjung masjid dijadikan sebagai ruangan tambahan bagi pencinta-pencinta ilmu untuk berkumpul menuntut ilmu Azhar bin Muhammad et.al. (2011). Aktiviti pengajian di sini telah dijalankan oleh Rasulullah SAW sendiri, di samping melatih beberapa orang dalam kalangan sahabat yang ditugaskan sebagai guru di antaranya ‘Abdullah bin al-Rawahah, Ubadah bin Somit dan Abu Ubaidah bin al-Jaraah.

         Peranan masjid sebagai institusi ilmu tidak pernah berubah walaupun bentuk pemerintahan berpindah dari zaman Rasulullah SAW kepada era Khulafa’ al-Rasyidin dan kemudiannya kepada pemerintahan Umawiyyah yang berpusat di Damsyik dan pemerintahan Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad. Sebagai contoh, terdapat 40 hingga 50 halaqah ilmu pada setiap hari dilakukan di Masjid al-Mansur pada zaman Harun al-Rasyid. Walau bagaimanapun, era Abbasiyyah menyaksikan ransangan yang kuat diberikan dalam bidang keilmuan dengan tertubuhnya sekolah dan perpustakaan.


                    Di peringkat awal institusi masjid diperkenalkan sebagai sebuah pusat pendidikan di samping mengekalkan fungsi yang lain, struktur pengajian yang di laksanakan berbentuk tidak formal. Walau bagaimanapun ia telah menjadi sebuah pusat pendidikan yang lebih sistematik bila wujudnya tempat belajar yang didirikan bersambung dengan masjid dikenali sebagai al-Suffah. Amalan ini telah menjadi warisan dan menerima perkembangannya sehingga tercetusnya usaha untuk membina tempat khusus untuk pengajian tetap, rasmi dan sistematik. Ada masjid-masjid di negara-negara Islam yang sampai terkenal di dunia sebagai bukan fungsi masjidnya sahaja, tetapi juga sebagai sebuah universiti. Contohnya masjid Zaituna di Tunisia, masjid Qarawain di Maghribi dan masjid al-Azhar di Mesir. Masjid-masjid ini merupakan model yang boleh dicontohi. Hasilnya, lahirlah ilmuan-ilmuan yang menguasai pelbagai bidang kepakaran antaranya Ibn Sina, al-Kharizmi, al-Ghazali, al-Kindi, al-Farabi dan ramai lagi. Mereka inilah yang mengangkat martabat dan mengunggulkan ummah. Penguasaan mereka di bidang ilmu memberikan manfaat yang besar kepada keutuhan tamadun Islam sehingga umat Islam di waktu itu digeruni oleh dunia.


                Pada masa kini, umat Islam terdedah dengan pelbagai gejala sosial yang kurang sihat dan gejala yang boleh menggugat keutuhan keimanan umat Islam jika tidak dirawat dengan segera. Seperti kata pepatah melayu “mencegah lebih baik daripada merawat”. Kedudukan masjid sebagai institusi pendidikan Islam harus memainkan peranan yang aktif dalam menyuburkan pembudayaan ilmu dalam masyarakat terutamanya apabila masyarakat sedang dilanda dengan pelbagai masalah sosial, kerohanian, akidah dan akhlak.

        

                Di Malaysia, kebanyakkan masjid ilmu-ilmu Islam disampaikan dengan cara kuliah atau tafaqquh iaitu guru akan duduk bersila atau duduk di kerusi dan berpandukan kepada sebuah kitab yang akan disampaikan sementara jemaah akan bersila di lantai. Biasanya penyampaian dijalankan dengan cara “one way” iaitu guru menyampaikan ilmu manakala jemaah akan mendengar. Sesekali jemaah akan bertanyakan soalan kepada guru.

Berdasarkan keadaan di Malaysia sekarang, kebanyakan masjid kelihatan lesu dan sunyi kecuali beberapa buah masjid di sekitar bandar dan daerah yang aktif menjalankan kegiatan keagamaan dan berbentuk kemasyarakatan yang dihidupkan oleh ahli jawatankuasa yang mempunyai komitmen untuk memajukan ummah. Program-program di masjid dan bentuk pembelajarannya perlu dirangka dan digubal ‘kurikulum masjid’ yang fleksibel untuk semua peringkat daripada kanak-kanak hingga dewasa supaya pendidikan agama dapat mengisi keperluan masyarakat Islam dalam zaman yang serba moden ini. Pendekatannya mesti merangsang dan interaktif serta mengambil kira keperluan menyeluruh masyarakat Islam daripada sekadar beribadat semata-mata.

Jumaat, 2 Julai 2021

FAKTOR KEJAYAAN MASJID DALAM MENGGUNAKAN PENDEKATAN TERBAIK MELALUI BIDANG PELAJARAN DAN PENDIDIKAN


    Secara umumnya, terdapat beberapa faktor utama yang mendorong kepada kejayaan sesebuah masjid dalam menggunakan pendekatan terbaik melalui pembangunan pendidikan antaranya, ialah didikan yang bermula daripada keluarga, pentadbiran masjid yang kemas dan sokongan para makmum, pentadbiran kemas Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan yayasan-yayasan Islam, serta motivasi daripada rakan yang baik dan soleh.



Didikan Bermula Dari Keluarga


    Anak-anak perlu diberikan kesedaran mengenai peri pentingnya masjid sejak dari rumah lagi, agar mereka sentiasa mencintai dan menghormatinya. Apabila azan dilaungkan contohnya, maka mereka harus dididik untuk diam, menghormati dan menjawabnya. Melalui didikan ini, mereka akan menyedari kepentingan dan kedudukan azan atau seruan masjid tersebut dan secara tidak langsung azan tersebut akan bertindak selaku ‘penggera’ (reminder) tentang ibadat solat. Ibu bapa juga bertindak menjelaskan kepada anak-anak tentang kepentingan solat berjemaah di masjid di samping mengajar mereka tentang hukum-hakam wuduk dan solat serta adab-adab masjid, kemudian mereka mula dibawa menghadiri masjid setelah sampai umur mumaiyiz (5-12 tahun). Di samping itu, mereka perlu dijinakkan dengan kuliah yang diadakan di masjid sebagai langkah mengekalkan peranan masjid dalam menyuburkan bidang pelajaran di kalangan makmum terutamanya kanak-kanak.



Pentadbiran Masjid Yang Kemas dan Sokongan Para Makmum


    Pentadbiran masjid yang kemas dan tersusun merupakan faktor kejayaan sesebuah institusi masjid di samping usaha dan inisiatif pihak pentadbiran masjid terbabit mewujudkan suasana yang kondusif, harmoni dan mampu menarik kehadiran ramai Jemaah hadir ke masjid. Di samping itu, tindakan yang bijak dan berhemah perlu diambil bagi mengawasi dan memelihara kemuliaan masjid daripada perbuatan mungkar dan dosa yang barangkali terjadi di dalam atau di kawasan masjid.



Pentadbiran Kemas oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Yayasan Islam


    Peranan Jabatan Agama Islam setiap negeri amat penting bagi menyelaras, menyumbang dan memantau segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran di masjid. Bahkan masjid tersebut diletakkan di bawah Bahagian Takmir Masjid di setiap JAIN, bagi memastikan pentadbiran masjid teratur dan seragam di masjid setiap negeri.



Motivasi Daripada Rakan yang Baik dan Soleh


    Rakan yang buruk boleh menyebabkan masrakat Islam terpinggir daripada institusi masjid yang merupakan syiar Islam terulung dalam komuniti muslim. Remaja lebih tertarik kepada hiburan dan ikut-ikutan lebih-lebih lagi pada perkara yang di luar norma dan moral kemanusiaan. Justeru, golongan tersebut perlu dijinakkan dengan masjid melalui aktiviti yang bersesuaian malah masjid perlu ditampilkan dengan lebih kreatif agar tidak dilabelkan sebagai pusat kelab orang pencen, bahkan remaja yang soleh dan terdidik ini kemudiannya akan bertindak menjadi agen yang mampu menarik rakan lain ke masjid.

LAKARAN PEMBINAAN MASJID AL-ABRAR TAMAN MUHIBBAH SALENG SENAI

    Masjid Al-Abrar Taman Muhibbah Saleng Senai telah melalui beberapa fasa pembinaan dalam menambahbaik infrastruktur bangunan masjid sedia ada yang pada awalnya berstatus surau Al-Abrar dan dinaiktaraf kepada Surau Jumaat dan seterusnya kepada naiktaraf Masjid Al-Abrar. Antara berikut adalah gambar-gambar beberapa fasa yang telah dilalui oleh Masjid Al-Abrar Taman Muhibbah Saleng Senai.



Gambar lakaran Masjid Al-Abrar Taman Muhibbah Saleng Senai







Lakaran kawasan tapak pembinaan dari pandangan atas
















Lakaran masjid dari sudut pandangan atas

















Lakaran masjid dari sudut pandangan hadapan
















Lakaran masjid dari sudut pandangan sisi kanan dan kiri










Gambar Kemajuan Kerja Pengubahsuaian Bangunan Masjid Al-Abrar (Fasa 1) Taman Muhibbah Saleng, 81400 Senai, Johor Darul Takzim


Fasa 1 : Pandangan Luar ( Hadapan )


Fasa 1 : Pandangan Luar ( Sisi )


Fasa 1 : Pandangan Dalam 


Gambar Kemajuan Kerja Pengubahsuaian Bangunan Masjid Al-Abrar (Fasa 2) Taman Muhibbah Saleng, 81400 Senai, Johor Darul Takzim


Fasa 2 : Padangan Luar


Fasa 2 : Pandangan Dalam


Gambar Kemajuan Kerja Pengubahsuaian Bangunan Masjid Al-Abrar (Fasa 3) Taman Muhibbah Saleng, 81400 Senai, Johor Darul Takzim


SEBELUM PEMBINAAN






Pandangan Sisi Kanan




Pandangan Sisi Kiri

SEMASA PEMBINAAN


                        
                    Pandangan Sisi Kiri                                            Pandangan Sisi Kanan


  Pandangan Sisi Kiri                                            Pandangan Sisi Kanan


  Pandangan Sisi Kiri                                            Pandangan Sisi Kanan



Gambar Kemajuan Kerja Pengubahsuaian Bangunan Masjid Al-Abrar (Fasa 3) Taman Muhibbah Saleng, 81400 Senai, Johor Darul Takzim


PEMBINAAN 98% SIAP


  Pandangan Sisi Kiri                                            Pandangan Sisi Kanan


  Pandangan Dalaman Hadapan (Fasa 1)                         Pandangan Dalaman Belakang (Fasa 1)


Pandangan Dalaman Hadapan (Fasa 2 & 3)              Pandangan Dalaman Belakang (Fasa 3)


Pandangan Dalaman Sisi Kanan (Fasa 3)              Pandangan Dalaman Sisi Kiri (Fasa 3)














7 KEISTIMEWAAN HARI ARAFAH YANG SANGAT HEBAT

Salah satu daripadanya adalah Hari Arafah, iaitu yang disambut pada setiap 9 Zulhijjah setiap tahun. Berikut adalah keistimewaan Hari Arafah...