Jumaat, 2 Julai 2021

FAKTOR KEJAYAAN MASJID DALAM MENGGUNAKAN PENDEKATAN TERBAIK MELALUI BIDANG PELAJARAN DAN PENDIDIKAN


    Secara umumnya, terdapat beberapa faktor utama yang mendorong kepada kejayaan sesebuah masjid dalam menggunakan pendekatan terbaik melalui pembangunan pendidikan antaranya, ialah didikan yang bermula daripada keluarga, pentadbiran masjid yang kemas dan sokongan para makmum, pentadbiran kemas Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan yayasan-yayasan Islam, serta motivasi daripada rakan yang baik dan soleh.



Didikan Bermula Dari Keluarga


    Anak-anak perlu diberikan kesedaran mengenai peri pentingnya masjid sejak dari rumah lagi, agar mereka sentiasa mencintai dan menghormatinya. Apabila azan dilaungkan contohnya, maka mereka harus dididik untuk diam, menghormati dan menjawabnya. Melalui didikan ini, mereka akan menyedari kepentingan dan kedudukan azan atau seruan masjid tersebut dan secara tidak langsung azan tersebut akan bertindak selaku ‘penggera’ (reminder) tentang ibadat solat. Ibu bapa juga bertindak menjelaskan kepada anak-anak tentang kepentingan solat berjemaah di masjid di samping mengajar mereka tentang hukum-hakam wuduk dan solat serta adab-adab masjid, kemudian mereka mula dibawa menghadiri masjid setelah sampai umur mumaiyiz (5-12 tahun). Di samping itu, mereka perlu dijinakkan dengan kuliah yang diadakan di masjid sebagai langkah mengekalkan peranan masjid dalam menyuburkan bidang pelajaran di kalangan makmum terutamanya kanak-kanak.



Pentadbiran Masjid Yang Kemas dan Sokongan Para Makmum


    Pentadbiran masjid yang kemas dan tersusun merupakan faktor kejayaan sesebuah institusi masjid di samping usaha dan inisiatif pihak pentadbiran masjid terbabit mewujudkan suasana yang kondusif, harmoni dan mampu menarik kehadiran ramai Jemaah hadir ke masjid. Di samping itu, tindakan yang bijak dan berhemah perlu diambil bagi mengawasi dan memelihara kemuliaan masjid daripada perbuatan mungkar dan dosa yang barangkali terjadi di dalam atau di kawasan masjid.



Pentadbiran Kemas oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Yayasan Islam


    Peranan Jabatan Agama Islam setiap negeri amat penting bagi menyelaras, menyumbang dan memantau segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran di masjid. Bahkan masjid tersebut diletakkan di bawah Bahagian Takmir Masjid di setiap JAIN, bagi memastikan pentadbiran masjid teratur dan seragam di masjid setiap negeri.



Motivasi Daripada Rakan yang Baik dan Soleh


    Rakan yang buruk boleh menyebabkan masrakat Islam terpinggir daripada institusi masjid yang merupakan syiar Islam terulung dalam komuniti muslim. Remaja lebih tertarik kepada hiburan dan ikut-ikutan lebih-lebih lagi pada perkara yang di luar norma dan moral kemanusiaan. Justeru, golongan tersebut perlu dijinakkan dengan masjid melalui aktiviti yang bersesuaian malah masjid perlu ditampilkan dengan lebih kreatif agar tidak dilabelkan sebagai pusat kelab orang pencen, bahkan remaja yang soleh dan terdidik ini kemudiannya akan bertindak menjadi agen yang mampu menarik rakan lain ke masjid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

7 KEISTIMEWAAN HARI ARAFAH YANG SANGAT HEBAT

Salah satu daripadanya adalah Hari Arafah, iaitu yang disambut pada setiap 9 Zulhijjah setiap tahun. Berikut adalah keistimewaan Hari Arafah...