Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat serta pembangunan minda dan fizikalnya memberikan isyarat bahawa institusi masjid juga perlu berkembang untuk mengimbangi keperluan dan perkembangan masyarakat Islam. Khususnya masjid-masjid yang berkedudukan strategik di negara ini perlu mengorak langkah bagi menampung dan memenuhi keperluan masyarakat. Untuk melaksanakan konsep masjid sebagai sebuah institusi, maka kita haruslah mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan dan menjadikan masjid sebagai Pusat Pembangunan Islam yang merangkumi semua kegiatan yang boleh diterjemahkan sebagai ibadah.
Pada masa kini, umat Islam terdedah dengan pelbagai gejala sosial yang kurang sihat dan gejala yang boleh menggugat keutuhan keimanan umat Islam jika tidak dirawat dengan segera. Seperti kata pepatah melayu “mencegah lebih baik daripada merawat”. Oleh itu, masjid-masjid perlu berusaha meningkatkan aktiviti-aktiviti ke arah pembangunan kerohanian umat Islam agar mampu bersaing menghadapi kesan gejala globalisasi ini.
Pembangunan masyarakat tidak hanya tertumpu kepada soal akhlak atau memfokuskan pada program-program keagamaan semata-mata, malah untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat yang terulung, masjid harus memahami kehendak masyarakat semasa. Dalam erti kata lain segala aktiviti kemasyarakatan bermula di masjid sebagaimana masjid di zaman Rasulullah. Aktiviti-aktiviti pembangunan sosial masyarakat diadakan bagi mengeratkan tali silaturrahim sesama ahli qariah dengan institusi masjid. Ini bermaksud bukanlah segala aktiviti dilakukan di dalam masjid tetapi pihak masjid boleh menganjurkan sesuatu program dan diadakan di luar masjid. Contohnya masjid menganjurkan program sukan untuk remaja seperti pertandingan bola sepak, takraw dan sebagainya, tidak menjadi suatu kesalahan jika sukan dianjurkan oleh masjid. Islam sendiri menggalakan umatnya supaya beriadah, malah itu dapat mendekatkan remaja dengan masjid seperti pepatah Arab menyebut:
العقل السليم في الجسم السليم
Maksudnya: Akal yang sihat dari badan yang sihat.
Selain daripada itu bagi memenuhi keperluan masyarakat semasa supaya terus relevan seharusnya masjid perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan riadah, kemudahan pusat rawatan kesihatan, kemudahan pusat komuniti, kemudahan pusat pendidikan atau kemudahan kedai jualan barangan halal. Pihak pengurusan masjid boleh meluaskan program yang dianjurkan, tetapi jangan sampai mencemarkan kesucian masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan