Pendidikan dari sudut Islam memperlihatkan suatu paradigma yang bersifat holistik, sepadu dan seimbang. Pendidikan Islam bersifat holistik atau menyeluruh kerana ia meliputi perkembangan manusia dari aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi secara bersepadu yang mana potensi ini dapat digunakan untuk meningkatkan pelbagai aspek kehidupan manusia. Manakala seimbangnya pendidikan Islam kerana ia menekankan kemajuan dan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
Masjid semenjak zaman Rasulullah SAW adalah sebagai tempat pembentukkan peribadi umat Islam atau dalam erti kata lain masjid adalah pusat pendidikan Islam dalam pelbagai bidang akidah, syariah dan akhlak. Institusi masjid berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Contohnya masjid al-Nabawi dijadikan sebagai pusat pembelajaran. Di serambi bahagian sisi atau anjung masjid dijadikan sebagai ruangan tambahan bagi pencinta-pencinta ilmu untuk berkumpul menuntut ilmu Azhar bin Muhammad et.al. (2011). Aktiviti pengajian di sini telah dijalankan oleh Rasulullah SAW sendiri, di samping melatih beberapa orang dalam kalangan sahabat yang ditugaskan sebagai guru di antaranya ‘Abdullah bin al-Rawahah, Ubadah bin Somit dan Abu Ubaidah bin al-Jaraah.
Peranan masjid sebagai institusi ilmu tidak pernah berubah walaupun bentuk pemerintahan berpindah dari zaman Rasulullah SAW kepada era Khulafa’ al-Rasyidin dan kemudiannya kepada pemerintahan Umawiyyah yang berpusat di Damsyik dan pemerintahan Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad. Sebagai contoh, terdapat 40 hingga 50 halaqah ilmu pada setiap hari dilakukan di Masjid al-Mansur pada zaman Harun al-Rasyid. Walau bagaimanapun, era Abbasiyyah menyaksikan ransangan yang kuat diberikan dalam bidang keilmuan dengan tertubuhnya sekolah dan perpustakaan.
Di peringkat awal institusi masjid diperkenalkan sebagai sebuah pusat pendidikan di samping mengekalkan fungsi yang lain, struktur pengajian yang di laksanakan berbentuk tidak formal. Walau bagaimanapun ia telah menjadi sebuah pusat pendidikan yang lebih sistematik bila wujudnya tempat belajar yang didirikan bersambung dengan masjid dikenali sebagai al-Suffah. Amalan ini telah menjadi warisan dan menerima perkembangannya sehingga tercetusnya usaha untuk membina tempat khusus untuk pengajian tetap, rasmi dan sistematik. Ada masjid-masjid di negara-negara Islam yang sampai terkenal di dunia sebagai bukan fungsi masjidnya sahaja, tetapi juga sebagai sebuah universiti. Contohnya masjid Zaituna di Tunisia, masjid Qarawain di Maghribi dan masjid al-Azhar di Mesir. Masjid-masjid ini merupakan model yang boleh dicontohi. Hasilnya, lahirlah ilmuan-ilmuan yang menguasai pelbagai bidang kepakaran antaranya Ibn Sina, al-Kharizmi, al-Ghazali, al-Kindi, al-Farabi dan ramai lagi. Mereka inilah yang mengangkat martabat dan mengunggulkan ummah. Penguasaan mereka di bidang ilmu memberikan manfaat yang besar kepada keutuhan tamadun Islam sehingga umat Islam di waktu itu digeruni oleh dunia.
Pada masa kini, umat Islam terdedah dengan pelbagai gejala sosial yang kurang sihat dan gejala yang boleh menggugat keutuhan keimanan umat Islam jika tidak dirawat dengan segera. Seperti kata pepatah melayu “mencegah lebih baik daripada merawat”. Kedudukan masjid sebagai institusi pendidikan Islam harus memainkan peranan yang aktif dalam menyuburkan pembudayaan ilmu dalam masyarakat terutamanya apabila masyarakat sedang dilanda dengan pelbagai masalah sosial, kerohanian, akidah dan akhlak.
Di Malaysia, kebanyakkan masjid ilmu-ilmu Islam disampaikan dengan cara kuliah atau tafaqquh iaitu guru akan duduk bersila atau duduk di kerusi dan berpandukan kepada sebuah kitab yang akan disampaikan sementara jemaah akan bersila di lantai. Biasanya penyampaian dijalankan dengan cara “one way” iaitu guru menyampaikan ilmu manakala jemaah akan mendengar. Sesekali jemaah akan bertanyakan soalan kepada guru.
Berdasarkan keadaan di Malaysia sekarang, kebanyakan masjid kelihatan lesu dan sunyi kecuali beberapa buah masjid di sekitar bandar dan daerah yang aktif menjalankan kegiatan keagamaan dan berbentuk kemasyarakatan yang dihidupkan oleh ahli jawatankuasa yang mempunyai komitmen untuk memajukan ummah. Program-program di masjid dan bentuk pembelajarannya perlu dirangka dan digubal ‘kurikulum masjid’ yang fleksibel untuk semua peringkat daripada kanak-kanak hingga dewasa supaya pendidikan agama dapat mengisi keperluan masyarakat Islam dalam zaman yang serba moden ini. Pendekatannya mesti merangsang dan interaktif serta mengambil kira keperluan menyeluruh masyarakat Islam daripada sekadar beribadat semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan